Wednesday, September 18, 2013

Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??

            ini adalah kisah yang saya paste dari seorang warga malaysia yang menetap di Denmark.....kredit to mr imran dari blog dari klate ke copenhagen yang menceritakan tentang negara denmark .....
saya rasa adakah MALAYSIA berada diantara negara yang paling bahagia.....kunun wawasan 2020
Alhamdulillah nukilan tak seberapa yang dikarang oleh penulis DKKC telah tersiar di ruangan rencana di website 'the Malaysia Insider'. Hantar untuk ruangan 'opinion' keluar jadi rencana plak. tapi tak kisah la..Bahagiakah bila berada di negara paling bahagia di dunia??

The Malaysian Insider
Rencana
PUNCA DENMARK MENJADI NEGARA PALING BAHAGIA DI DUNIA
- MUHAMMAD IMRAN ISMAIL
Nyhavn, pelabuhan kecil di Denmark. Penuh dengan orang tak kira musim panas atau sejuk
Salah satu iklan menarik di Copenhagen. Diskaun untuk membeli cenderamata berdasarkan umur. Umur 52 dapat 52% diskaun, kalau 78 tahun dapat 78% dan kalau 100 tahun, free je kot. 
Berbasikal ke mana-mana saja
Nenek warga emas berjoging semasa salji masih tebal


           Denmark sekali lagi mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia di dunia
berdasarkan laporan tahunan kedua yang dikeluarkan oleh UN Sustainable
Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam
Laporan Kebahagiaan Dunia 2013  (World Happiness Report 2013). 
Tahap kegembiraan sesebuah negara dinilai berdasarkan enam elemen penting iaitu 
kesihatan jangka hayat (health life expectancy), persepsi terhadap rasuah 
(perceptions of corruption), KDNK per kapita (GDP per capita), kebebasan untuk 
membuat pilihan hidup(freedom to make life choices), sokongan sosial (social support) dan 
juga kemurahan hati (generosity). Laporan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik 
di Earth Institute di University of Columbia itu mengklasifikasikan tahap kebahagiaan pada
 skala 1 hingga 10. Denmark mendapat 7.693 mata manakala Malaysia pula berada 
di tangga ke-56 dengan 5.760 mata dari keseluruhan 156 negara yang tersenarai.
Apa yang menarik, kelima-lima negara yang mengungguli carta negara paling gembira 
atau bahagia di dunia adalah negara yang terletak di utara eropah iaitu 
Denmark (1), Norway (2), Switzerland (3), Netherlands (4) dan juga Sweden (5). 
 Jadi, apakah punca sebenar rakyat di negara tersebut gembira dan bahagia? 
Adakah faktor cuaca dan lokasi sesebuah negara?
Daripada pemerhatian dan pengamatan penulis yang berada di bumi Denmark selama 
hampir tiga tahun, terdapat banyak faktor yang mendorong Denmark menjadi negara 
paling gembira di dunia. Apa yang pasti ia bukan disebabkan faktor cuaca kerana negara 
di skandinavia mengalami musim sejuk yang panjang. Mana mungkin, seseorang itu
 boleh menjadi lebih gembira sekiranya sentiasa dibelenggu cuaca yang sejuk dan
 dingin sepanjang tahun. Jadi apakah faktor sebenar yang melayakkan Denmark 
digelar sebagai negara paling bahagia?

Kebajikan rakyat terjaga  Denmark sememangnya cukup dikenali sebagai 
model contoh sebuah negara kebajikan. Semua warganegara mempunyai 
hak yang sama dalam aspek keselamatan sosial dan beberapa perkhidmatan 
disediakan untuk rakyat secara percuma. Contohnya kemudahan kesihatan.
 Di Denmark, setiap individu bebas memilik klinik panel dan doktor keluarga masing-masing. 
Ini termasuk semua penduduk sama ada berstatus penduduk tetap ataupun sementara. 
Semua diberikan insurans kesihatan bagi menjamin kebajikan orang yang menetap 
di Denmark terjaga.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa negara ini turut menitikberatkan kebajikan haiwan 
peliharaan.Penulis sendiri pernah melalui pengalaman yang merumitkan walau sekadar ingin 
memelihara ikan kecil di dalam rumah. Ini adalah kerana untuk memelihara ikan, 
sampel air di rumah perlu dihantar untuk dianalisis dan perlu membeli akuarium yang 
mempunyai saiz tertentu serta lengkap dengan peralatan khas termasukkan sistem 
pengaliran udara dan juga penapisan air. Pendek kata, jika tuntutan tersebut tidak dapat 
dipenuhi maka ikan tidak akan dijual. Semua langkah ini dijalankan bagi memastikan
 kebajikan ikan yang bakal dipelihara terjaga.
Pendidikan percuma
Dalam sistem kebajikan Denmark, pendidikan juga adalah percuma dari sekolah rendah 
hingga universiti. Kadar literasi di Denmark antara yang tertinggi di dunia iaitu 99%.  
Pendidikan awal kanak-kanak lebih tertumpu sebagai tempat membina kemahiran berdikari 
dan bersosial serta menyuburkan nilai murni dan jati diri. Pelajar sekolah tidak terbeban 
dengan timbunan kerja sekolah yang perlu dilangsaikan setiap hari. Sekali seminggu, 
guru akan membawa kanak-kanak kecil melawat zoo, muzium, taman rekreasi dan 
tasik dengan hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas dan juga keretapi
 tanpa perlu menempah bas sekolah atau van. Mudah dan senang bukan?
Semua mahasiswa di universiti tidak perlu membayar yuran pengajian bagi 
institusi pengajian tinggi awam dan juga hampir semua institusi pengajian tinggi swasta.
 Malahan semuanya ditawarkan bantuan kewangan bulanan yang dikenali sebagai 
Statens Uddannelsesstøtte  (The State's Educational Support). Institusi pendidikan 
di Denmark mempunyai tahap yang tinggi dan menggabungkan pendekatan pembelajaran 
yang inovatif bagi menghasilkan pelajar yang berperananan aktif dalam masyarakat 
berasaskan pengetahuan global. Apa yang menarik, institusi pendidikan turut mendapat 
manfaat daripada kerjasama yang erat dengan pihak industri dan institusi 
penyelidikan lain bagi memperkayakan suasana pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Kerja sedikit, gaji banyak
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada tahun lalu melaporkan 
pekerja di Denmark mempunyai purata tempoh waktu kerja yang kedua terendah selepas 
Netherlands iaitu hanya 33 jam seminggu. Semua pekerja turut memperolehi 
sekurang-kurangnya lima minggu cuti bergaji untuk bercuti di musim panas. 
Tidak dinafikan pekerja di Denmark juga turut selesa menikmati gaji bulanan yang tinggi. 
Misalnya gaji minimum yang disyaratkan oleh kerajaan Denmark adalah 
115 danish kroner iaitu kira-kira RM66 sejam.
Bagaimanapun, pekerja dikenakan cukai yang cukup tinggi. 
Purata cukai yang dikenakan adalah dari 38-55% bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. 
Malah, potongan cukai boleh mencapai sehingga 68%. 
Walaupun cukai yang dikenakan tinggi, warga tempatan seolah reda kerana 
mereka sama-sama dapat menikmati kemudahan dan prasana kelas pertama 
yang disediakan kerajaan. Misalnya, jaringan pengangkutan awam yang efisen serta pilihan 
perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang baik.
Selain itu, undang-undang buruh negara Denmark mengamalkan konsep 
'flexicurity' iaitu gabungan unik di antara fleksibiliti (flexibility) dan juga 
keselamatan ataupun jaminan (security). Konsep unik ini membolehkan  majikan 
bebas melantik atau memecat pekerja. Bagaimanapun, sekiranya dipecat, 
pekerja tersebut akan dilindungi kerajaan yang mana penganggur berhak mendapat 
gaji minimum yang membolehkannya menyara hidup sehingga mendapat kerja
 yang baru dalam tempoh dua tahun.
Pekerja juga mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Kebanyakan 
majikan membenarkan pekerja memilih waktu masuk kerja. 
Apa yang penting kerja yang ditugaskan diselesaikan dalam tempoh 
waktu kerja yang ditetapkan. Lebih menarik, ibu yang melahirkan anak boleh 
mendapat cuti bersalin dengan gaji penuh sehingga setahun. 
Manakala si bapa pula boleh mendapat cuti bergaji jika pasangan bersalin hingga tiga bulan. 
Menarik bukan?
Persekitaran sihat dan selamat
Penduduk di sekitar bandar Copenhagen gemar menggunakan basikal untuk ke sesuatu tempat. 
Oleh itu kesesakan lalu lintas adalah sangat kurang walaupun pada waktu puncak. 
Situasi ini bukan sahaja baik untuk alam sekitar malah baik untuk kesihatan. 
Masyarakat tempatan juga gemar melakukan aktiviti riadah tanpa mengira waktu. 
Seringkali kelihatan orang ramai bersenam dan berjoging tidak kira dalam kehujanan, 
pada waktu malam malah semasa salji turun sekalipun. 
Di kawasan kejiranan pula banyak disediakan taman kecil dan tempat beriadah. 
Sementelahan  itu, jika cuaca baik, maka berpusu-pusu orang ramai keluar 
bersiar-siar atau hanya sekadar duduk di bangku di beranda sambil menikmati sinar mentari.
Malah sewaktu musim sejuk sekalipun mereka gemar menceriakan 
suasana sambil beristirehat di rumah dengan memasang lilin beraroma atau
 lebih dikenali sebagai 'hygge' dalam bahasa tempatan. Perkataan itu sendiri 
sebenarnya sukar didefinisikan kerana mempunyai konotasi berbeza-beza. 
Tetapi boleh ditakrifkan sebagai keselesaan. Contohnya, dengan menikmati 
secawan kopi sambil dibaluti selimut sambil membaca buku. Suasana sebegini
 sudah tentu mendamaikan dan membuatkan hati menjadi tenang dan selesa.
Antara faktor lain yang menjadikan seseorang itu sentiasa gembira adalah apabila berasa selamat.
 Kadar jenayah di Denmark secara keseluruhannya rendah. 
Jarang sekali terdengar kes tembakan, kecurian atau rompakan. 
Tirai besi tidak diperlukan untuk membaluti tingkap kaca rumah.
 Anak kecil juga boleh bebas bermain di sekitar kediaman tanpa
 ibu bapa perlu risau bahaya kes penculikan.
Lantaran itu, faktor sebegini mendorong rakyat di Denmark menjadi sentiasa 
ceria dan gembira serta sangat berpuas hati dengan kehidupan masing-masing.
 Memang penduduk negara kaya cenderung untuk lebih bahagia tetapi 
kekayaan sesebuah negara bukanlah menjadi faktor penentu untuk mengukur tahap kebahagiaan.
* Penulis adalah pelajar yang baru menamatkan ijazah sarjana di Copenhagen, Denmark.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
P/S: Terima kasih editor TMI sudi siarkan. Terima kasih juga atas pembetulan. 
Perkataan 'redha' rupanya ejaan yang betul adalah 'reda'. Tapi ada satu lagi editor 
tak perasaan, perkataan 'and' terlupa dipadam pada perenggan kedua. 
Tapi tak pe, janji mesej dan info yang nak disampaikan, sampai kepada pembaca 

No comments: